JONISTON Bangkuai. FOTO Arkib NSTP
JONISTON Bangkuai. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Mana-mana kumpulan yang berhasrat untuk mengambil alih kerajaan negeri seharusnya menunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menentukan sama ada mereka mendapat sokongan rakyat.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai menegaskan ketika ini pemimpin seharusnya memberi perhatian untuk membangunkan negeri Sabah.

"Mengapa membuat rancangan untuk menggulingkan kerajaan negeri pada waktu di mana sepatutnya fokus kita adalah untuk menyegerakan dan mempergiatkan usaha untuk membangunkan negeri?.

"Sangat dikesali kerana pihak tertentu nampaknya tidak pernah berhenti menggugat kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor," katanya.

Dalam pada itu, Joniston turut berkata beliau turut percaya majoriti rakyat Sabah menentang sebarang rancangan atau tindakan untuk menggulingkan kerajaan negeri ketika ini.

"Jangan kita lupa keputusan PRN ke-16 pada 2020 di mana parti yang menggulingkan kerajaan negeri yang dilantik melalui pembelotan ditolak.

"Janganlah kita ganggu kerja-kerja baik dan produktif yang kerajaan negeri sedang lakukan sekarang," katanya dalam kenyataan.

Disamping itu, Joniston turut menegaskan sebarang langkah yang boleh membawa ketidakstabilan politik di Sabah harus dielakkan dan semua yang berkenaan perlu menumpukan usaha mengukuhkan perpaduan.

Di bawah kepimpinan Hajiji, Joniston berkata negeri ini telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa termasuk merekodkan hasil negeri tertinggi pernah sebanyak RM6.6 bilion pada 2022, antara lain.

Selain itu, peruntukan tahunan ADUN tahun ini dinaikkan kepada RM3 juta, dengan RM2.5 juta diperuntukkan untuk projek kecil dan RM500,000 untuk projek sentuhan kasih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 11:39 PM