Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang pemilik stesen minyak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdaya ahli perniagaan membabitkan nilai kerugian RM2.3 juta tahun lalu.

Hanafi Husin, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Hanafi didakwa menipu seorang lelaki berusia 34 tahun dengan curang memperdayakannya untuk menyerahkan wang berjumlah RM2.3 juta secara tunai dan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dengan cara menawarkan untuk menjalankan perniagaan minyak diesel secara sah.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat persetujuan penjualan rampasan minyak diesel bertarikh 23 Mei 2022 dari pihak pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Johor bagi memperdaya mangsa.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh menggunakan satu dokumen palsu iaitu surat sokongan pelesenan gas petroleum cecair (LPG) dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Johor untuk menipu mangsa dengan menyerahkan wang tersebut.

Mengikut pertuduhan keempat, tertuduh menggunakan surat status kapasiti bawah tanah bagi produk diesel atau petrol dan sokongan bagi membekal Ron97/diesel bagi premis kawasan perindustrian Pasir Gudang bertarikh 20 Jun lalu, dari Boustead Marketing Sdn. Bhd.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat milik tertuduh di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang pada 12 Jun 2022.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhayati Muhammad Fathullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Januari ini bagi tujuan penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 12:42 PM
Hanafi Husin, 39, dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdayakan seorang ahli perniagaan menyerahkan RM2.3 juta, Jun tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Hanafi Husin, 39, dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan memalsukan dokumen dan memperdayakan seorang ahli perniagaan menyerahkan RM2.3 juta, Jun tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN