VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Atiqah Sulaiman

Kuala Lumpur: Pengambilan sampel air kumbahan daripada pesawat membantu negara mengesan kes Covid-19 sekiranya Malaysia tidak mahu melakukan ujian saringan virus ke atas pengembara yang tiba di negara ini.

Bagaimanapun, Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata ujian persampelan daripada sisa kumbahan itu hanya menunjukkan kehadiran virus Covid-19 itu dalam penerbangan namun tidak dapat menentukan individu mana yang dijangkiti.

"Jadi mereka yang berkemungkinan dijangkiti Covid-19, namun tidak pergi ke tandas, kita tidak dapat mengesan virus berkenaan. Namun kita mengandaikan penumpang akan pergi ke tandas sekurang-kurangnya sekali sepanjang perjalanan, termasuk mereka yang positif.

"Tindakan ini akan melengkapkan ujian yang dilakukan ke atas penumpang," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuhkan Survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China.

Dr Noor Hisham berkata sampel air kumbahan yang diambil itu akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

Ketika ditanya mengapa tidak menjalankan ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ke atas penumpang yang tiba di negara ini kerana keputusannya lebih cepat, Dr Zainal berkata ujian itu memang mudah namun kurang tepat bagi mengenalpasti kes positif.

"Berkemungkinan ujian pra-masuk yang dijalankan pun ada kelemahan, jadi ujian air kumbahan ini membantu. Ia boleh membantu pengawasan secara umum," katanya.

Dr Noor Hisham sebelum ini memaklumkan persampelan air kumbahan daripada pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu, dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata secara amnya, semua air kumbahan itu akan dibawa keluar daripada kapal terbang melalui trak kemudahan sebelum ke tempat pelupusan sisa pesawat (AWDF), dan proses itu diselaraskan oleh pihak Airport Ground Handler.

Bagaimanapun, bagi pesawat yang sudah dikenal pasti, pegawai dari Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengambil sampel sisa kumbahan itu terlebih dahulu sebanyak satu liter sebelum dibawa ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk proses pengujian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 5:16 PM