POSTER mengenai virus Zika dipamer untuk memberikan kesedaran dan memaklumkan simptom jangkitan. FOTO arkib NSTP
POSTER mengenai virus Zika dipamer untuk memberikan kesedaran dan memaklumkan simptom jangkitan. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Lelaki menetap di Petaling Jaya, Selangor disahkan dijangkiti Zika pada 14 Disember lalu sekali gus kes kelapan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berusia 67 tahun itu mengalami gejala demam, loya dan cirit-birit pada 28 November lalu serta mendapatkan rawatan pertama tiga hari kemudian di Klinik Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur.

"Sejarah pergerakan pesakit dari 14 hingga 28 November lalu menunjukkan dia berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak.

"Ahli keluarga terdekat pesakit disiasat dan sampel darah serta air kencing diambil untuk ujian saringan Zika sebaik keputusan diketahui," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti kawalan juga dilaksanakan pada 11 Disember lalu membabitkan pemusnahan tempat pembiakan, penusnahan jentik-jentik, pendidikan kesihatan dan semburan di kawasan kediaman dan tempat lain yang pernah dilawati pesakit.

Bermula 1 September hingga 14 Disember lalu, lapan kes disahkan positif Zika di seluruh negara.

Pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari Jun 2015 sehingga 10 Disember lalu mendapati ujian bagi 1,633 sampel darah dan air kencing pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika adalah negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 4:08 PM