KEADAAN bas ekspres yang merempuh belakang lori di KM 317.2 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN bas ekspres yang merempuh belakang lori di KM 317.2 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Ihsan Polis.
Rosman Shamsudin


Tapah: Seramai 16 penumpang bas ekspres cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dari Baling, Kedah terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer (KM) 317.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pada 2.45 pagi itu, pemandu bas berkenaan yang berusia 42 tahun cedera di perut, manakala penumpang wanita, 28, luka di dagu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur manakala, lori muatan buah-buahan dari Bukit Kayu Hitam menghala ke Selayang, Selangor.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekspres hilang kawalan dan melanggar belakang lori berkenaan (menyebabkan lori terbalik).

"Insiden mengakibatkan dua cedera iaitu pemandu dan seorang penumpang wanita, dengan mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemandu lori berusia 26 tahun dan penumpang lain tidak cedera.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LORI muatan buah terbalik selepas dirempuh bas ekspres. FOTO Ihsan Polis.
LORI muatan buah terbalik selepas dirempuh bas ekspres. FOTO Ihsan Polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 9:08 AM