Noor Hidayah Tanzizi

Cheras: Prihatin dengan musibah banjir yang melanda di Pantai Timur, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bersama Masjid Al-Mukhlisin, di sini, mengagihkan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang terjejas.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Tan Sri Musa Hassan berkata, inisiatif itu dilakukan antara pihaknya bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia (MHO), persatuan jenayah dan masjid berkenaan.

Menurutnya, ketika ini mereka masih mengumpulkan bantuan di pusat pengumpulan di dewan masjid itu dan penghantarannya akan digerakkan dalam masa terdekat.

"Bantuan ini akan digerakkan dengan menggunakan 40 pacuan empat roda dan 20 lori untuk mangsa banjir di Pantai Timur. Barang bantuan sudah ada dan kita masih dalam proses mengumpulkannya lagi.

"Orang ramai juga dialu-alukan menyumbangkan barangan keperluan asas seperti makanan kering, air mineral, berus gigi, susu bayi, tuala wanita, lampin pakai buang bayi dan dewasa serta pakaian dalam lelaki dan wanita selain keperluan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pusat Pengumpulan Bantuan Mangsa Banjir di Alam Damai, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi MCCC Datuk Nazri Ibrahim, Wakil MHO Kapten Zafarul Rully dan Naqib masjid berkenaan Haziq Iqbal Azerol.

Musa berkata, usaha itu untuk meringankan beban mangsa yang terjejas bencana itu ketika ini yang memerlukan barang keperluan.

MUSA (tengah) meletakkan barangan bantuan misi banjir di pacuan empat roda selepas pada sidang media Majlis perasmian pusat pengumpulan bantuan banjir di Dewan Masjid Al Mukhlisin Alam Damai.  FOTO Hazreen Mohamad
MUSA (tengah) meletakkan barangan bantuan misi banjir di pacuan empat roda selepas pada sidang media Majlis perasmian pusat pengumpulan bantuan banjir di Dewan Masjid Al Mukhlisin Alam Damai. FOTO Hazreen Mohamad

"Kami turut berharap mana-mana NGO lain atau orang perseorangan turut membantu. Bagi yang ingin membantu boleh datang ke dewan ini atau memberi sumbangan kewangan yang akan digunakan untuk membeli keperluan mangsa banjir,' katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama MCCC bernombor 564249422939.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 4:29 PM