Pengasas bersama NGO, Adab Youth Garage (AYG), Muhammad Afiq Ramlee mewujudkan pusat pengumpulan bantuan banjir di Bandar Baru Bangi sejak Ahad lalu.
Pengasas bersama NGO, Adab Youth Garage (AYG), Muhammad Afiq Ramlee mewujudkan pusat pengumpulan bantuan banjir di Bandar Baru Bangi sejak Ahad lalu.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Musibah banjir yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu menyebabkan rakyat Malaysia bersatu hati membantu dengan mewujudkan pusat pengumpulan barangan dan juga kerahan tenaga membersihkan rumah mereka yang terkesan.

Tidak mengenal bangsa, agama dan darjat, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, rukun tetangga dan orang perseorangan tampil menyumbang pelbagai barangan dan tenaga sebagai sokongan dan keprihatinan rakyat bantu rakyat.

Pusat pengumpulan barangan banjir yang diwujudkan di beberapa kawasan kini dihujani dengan pelbagai sumbangan orang ramai seperti pakaian, barangan keperluan makanan, barangan mencuci rumah, lampin pakai buang dan peralatan penjagaan diri.

Bagi pengasas bersama NGO Adab Youth Garage, Muhammad Afiq Ramlee yang mewujudkan pusat pengumpulan bantuan banjir di Bandar Baru Bangi sejak Ahad lalu, beliau tidak sangka sambutan diterima sangat menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia.

"Sebaik kita menguar-uarkan di Facebook mengenai pusat pengumpulan bantuan ini, sambutan diterima daripada orang persendirian, NGO dan syarikat korporat sangat menggalakkan.

"Kita buka pusat pengumpulan ini bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan Alhamdulillah, rakyat Malaysia sangat prihatin apabila datang menyumbang barangan dan tenaga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Afiq berkata, semua barangan sudah disalurkan ke beberapa kawasan banjir di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.

"Bagaimanapun saya mahu menasihatkan kepada orang ramai yang memberikan pakaian, berilah pakaian yang masih elok dan baru untuk mereka. Semalam sukarelawan saya terpaksa buang pakaian menggunakan tiga pacuan empat roda kami.

"Saya faham ramai yang mahu menyumbang, tetapi mudahkan juga kami sukarelawan kerana terlampau banyak barangan yang diterima perlu disaring semula," katanya.

Pengerusi Wanita KRT Taman Bandar Rinching, Seksyen 5, Semenyih, Norfiza Farida Mohd Badly berkata, inisiatif mengumpulkan barangan buat mangsa banjir mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk yang datang menghulurkan sumbangan.

"Kami dijangka menyampaikan barangan dikumpul pada Sabtu ini di Sepang. Banyak barangan sudah dikumpul antaranya makanan, pakaian dan kit penjagaan diri.

"Terima kasih kerana prihatin dengan nasib mangsa banjir, tidak lupa ramai juga yang datang menghulurkan tenaga kerja membantu kami menyusun barang supaya memudahkan sumbangan," katanya.

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam Global Peace Malaysia (GPM) Nur Zarifah Saleh berkata, GPM sebagai sebuah NGO memahami kesukaran yang dihadapi mangsa dan menghulurkan pelbagai jenis bantuan di tiga negeri yang teruk terjejas.

"Tempat mengumpulkan barangan bantuan di Taman Cemerlang, Gombak didatangi orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan.

"Saya rasa orang Malaysia memang hebat, dalam keadaan terdesak, ramai pihak tampil membantu dan rakyat jaga rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 12:40 PM