Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Jangan kita membuat tohmahan secara rambang (tetapi) perlu beri fakta tertentu kalau betul (ada) pegawai polis (seperti didakwa) terbabit rasuah (perlu terus) maklumkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biar mereka siasat," kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) memberi reaksi itu bagi mengulas dakwaan pengendali saluran media sosial dikenali sebagai Edisi Siasat yang banyak mendedahkan kegiatan jenayah seperti aktiviti judi dalam talian dan mendakwa polis gagal bertindak dalam isu itu.

Menurut Musa, tindakan menyebarkan maklumat dan menuding jari kepada pihak berkuasa dengan tanpa mengikut saluran dan memberi fakta yang betul tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat aktiviti jenayah sepatutnya menyalurkannya kepada pihak berkuasa tanpa membuat tohmahan secara rambang.

"Saya dapati mereka (Edisi Siasat) banyak memberi maklumat berkaitan kegiatan haram di negara ini, contohnya judi dan macam-macam lagi, selalunya mereka menyatakan bahawa polis tidak bertindak, jadi bagi saya mereka perlu adil kepada pihak polis.

"Jika ada maklumat yang benar (bukti seperti didakwa) sila salurkan pada polis untuk tindakan dan jangan hanya memberi maklumat selepas itu membuat andaian bahawa polis tidak mengambil tindakan (dan) polis makan rasuah," katanya selepas majlis perasmian Pusat Pengumpulan Bantuan Mangsa Banjir di Alam Damai, di sini, hari ini.

Musa berkata, tindakan seperti itu sekali gus boleh merosakkan kredibiliti pasukan polis dan jika mempunyai bukti yang sahih ia perlu terus disalurkan kepada pihak berkuasa supaya dapat memastikan negara bersih daripada kegiatan itu.

MUSA. FOTO arkib NSTP
MUSA. FOTO arkib NSTP

Katanya, semua pegawai dan anggota pasukan polis termasuk semua pasukan penguat kuasa lain tidak dibenarkan sama sekali terbabit rasuah.

Pada 1 November tahun lalu, polis dilaporkan menerima 11 laporan daripada individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes salah guna kuasa dan rasuah seperti didedahkan pengendali sosial Edisi Siasat.

Antara kes yang didedahkan dalam saluran itu termasuk dakwaan kes kartel daging, kes kehilangan wang RM25 juta serta 1MDB selain dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah oleh pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 1:42 PM