Penduduk Kampung Pasir Akar, Hulu Besut membantu mengusung warga emas, Lijah Musa,75 yang lumpuh untuk dihantar ke pusat pemindahan. FOTO Mohammad Ishak.
Penduduk Kampung Pasir Akar, Hulu Besut membantu mengusung warga emas, Lijah Musa,75 yang lumpuh untuk dihantar ke pusat pemindahan. FOTO Mohammad Ishak.
Mohammad Ishak


Jertih: Lebih 10,000 penduduk Hulu Besut terputus hubungan dengan Bandar Jertih apabila jalan utama Jertih-Keruak ditenggelami air sedalam dua meter hari ini.

Ia membabitkan penduduk dari Kampung Keruak, Kampung La, Pancur, Felda Tenang, Bukit Payong, Pasir Akar, Padang Bual dan Seberang La.

Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan empat jambatan iaitu Jambatan Sungai Jerbung, Batu 13, Bekok dan Kampung La ditenggelami air sedalam dua meter sebelum laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 8 pagi tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut merangkap Setiausaha Sekretariat Bencana Daerah Besut Leftenan Muda Mohd Suhaimi berkata, sehingga jam 1 petang, seramai 774 mangsa daripada 204 dipindahkan ke 12 pusat pemindahan.

Katanya, kebanyakan mangsa dipindahkan awal pagi tadi selepas kediaman mereka di kampung berkenaan ditenggelami air.

Warga emas, Lijah Musa, 75, dari Kampung Pasir Akar yang lumpuh turut dibantu penduduk kampung selepas rumahnya dinaiki air sedalam dua meter.

Mangsa diselamatkan penduduk kampung sebelum dibawa ke pusat pemindahan Pasir Akar menggunakan lori.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 3:08 PM