Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kerajaan sedang meneliti semua dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan beberapa menteri dan bekas menteri serta pegawai tertinggi badan penguat kuasa negara, seperti didedahkan saluran media sosial Edisi Siasat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberi jaminan kerajaan tidak akan memilih bulu dalam menjalankan siasatan, termasuk jika ia membabitkan pimpinan tertinggi negara.

Bagaimanapun, katanya, siasatan itu tidak boleh didedahkan kepada umum, selagi ia belum lengkap kerana berisiko menjejaskan proses siasatan berkenaan.

"Kerajaan masih meneliti semuanya (dakwaan salah laku dan rasuah yang didedahkan Edisi Siasat), tapi tidak semua siasatan ini boleh didedah kepada umum selagi ia belum siap dan lengkap.

"Saya memberi penegasan di sini bahawa tindakan kerajaan adalah untuk menyiasat sesiapa sahaja. Kita tidak kisah sama ada ketua jabatan atau pemimpin tertinggi kerajaan.

"Siasatan tentunya akan dilaksanakan sebaik mungkin dan kita tidak akan pilih kasih dalam melaksanakan siasatan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Junaidi pada sidang Dewan Negara, di Parlimen Hari ini. Ihsan Foto Jabatan Penerangan
Wan Junaidi pada sidang Dewan Negara, di Parlimen Hari ini. Ihsan Foto Jabatan Penerangan

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanyakan pendirian kerajaan terhadap pendedahan oleh Edisi Siasat, serta sama ada siasatan sudah dijalankan bagi memastikan dakwaan itu benar atau sebaliknya.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dilaporkan berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah laku rasuah termasuk seperti yang didedahkan Edisi Siasat sejak beberapa minggu lalu.

Pemerhatian terhadap saluran berkenaan mendapati ia dimulakan pada 19 Oktober lalu menerusi Telegram, namun blog dengan menggunakan nama sama dimulakan pada Julai tahun ini.

Antara kes yang didedahkan dalam saluran Telegram Edisi Siasat itu termasuk kartel daging, kes kehilangan wang RM25 juta, serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 2:09 PM