FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memohon pertimbangan semua pihak supaya tidak melabel restoran mamak sebagai pengotor berikutan video tular di media sosial memaparkan tikus menjamah ayam goreng di sebuah restoran di Pandan Indah di sini, Jumaat lalu.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, kejadian yang berlaku seperti yang tular di media sosial itu adalah kes terpencil dan di luar kawalan pengusaha restoran mamak terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akur dengan tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pengusaha restoran mamak terbabit yang didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

"Sudah menjadi amalan semua ahli Presma untuk memastikan kebersihan premis, dapur serta persekitaran dalam usaha menyediakan suasana yang selesa kepada pelanggan.

"Presma mengalu-alukan aduan daripada pelanggan untuk memastikan segala etika perniagaan dipatuhi dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Selaku presiden, beliau turut memberi jaminan untuk memastikan isu sebegini tidak berlaku lagi sehingga mengundang persepsi negatif pelanggan yang selama ini menyokong restoran Muslim di negara ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 17 saat menunjukkan tikus menjamah ayam goreng di premis berkenaan tular di media sosial selepas dimuat naik di Twitter sejak Jumaat lalu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan tindakan penutupan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari sudah dikeluarkan terhadap premis berkenaan.

Semalam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Notis turut mengeluarkan Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) yang berkuat kuasa serta-merta ke atas premis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 12:57 PM