GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Hanya kerana jirannya didakwa membuat bising di luar kediamannya di sebuah apartment di Kampung Baru, di sini, menyebabkan seorang lelaki bertindak memukulnya dengan kayu semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada jam 10.30 pagi, lelaki berusia 81 tahun bersama rakan wanita berada di Blok A tingkat satu didatangi suspek, 69, dengan membawa kayu dan terus memukulnya bahagian mata dan belakang badan.

Menurutnya, suspek kemudian terus melarikan diri masuk ke rumahnya manakala mangsa dan rakannya juga turut melarikan diri naik ke tingkat atas.

"Mangsa kemudian diiringi anaknya ke balai polis untuk membuat laporan polis.

"Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan bengkak di bahagian mata sebelah kanan dan sakit di bahagian belakang badan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, susulan itu, pada jam 2 petang, polis menahan suspek dan merampas kayu itu dikediamannya.

"Suspek yang ditangkap mengaku terbabit dalam kes yang disiasat dan kejadian dipercayai berpunca kerana suspek tidak puas hati dengan mangsa yang dikatakan membuat bising di luar rumah suspek dengan bercakap kasar.

"Suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah.

"Suspek dipercayai sedang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Bahagian Psikiatrik Hospital Ampang namun pihak polis masih sedang mengesahkan dakwaan itu dengan pihak Hospital Ampang," katanya.

Katanya, suspek juga membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 9:07 PM