PENSYARAHdan pelajar semester lima program Penerbitan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media bersama Tomoko Hirose (tengah). Foto Ihsan Khairunnisa Azharul Shah
PENSYARAHdan pelajar semester lima program Penerbitan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media bersama Tomoko Hirose (tengah). Foto Ihsan Khairunnisa Azharul Shah
Muhaamad Hafis Nawawi


Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memperkukuhkan hubungan dua hala bersama Universiti Antarabangsa Josai Tokyo Kioicho, Jepun dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU berkenaan dimeterai sebelum ini dan diperkukuhkan lagi dengan Lawatan Akademik dan pemindahan ilmu (knowledge transfer) oleh delegasi UiTM yang diketuai Penasihat Program Siri Kembara Akademik Penerbitan (SiKAP), Nora Noordin.

Ia turut diikuti Pensyarah Kanan Penerbitan, Zaliffah Abdul Wahab bersama 25 pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penerbitan) ketika mengadakan lawatan pada 15 Disember lalu.

Nora berkata, kerjasama berkenaan bertujuan meneruskan aktiviti pembelajaran dan penyelidikan.

"Ia sejajar dengan objektif utama program yang memberi pendedahan kepada pelajar untuk berpeluang memperoleh pengalaman dalam mempelajari perbezaan budaya, kemajuan pendidikan dan sistem ekonomi di negara lain terutamanya Jepun.

"UiTM menyediakan komunikasi massa yang pertama di Malaysia, satu-satunya subjek yang diutamakan iaitu subjek penerbitan yang perlu dinaikkan dan dikembangkan untuk usaha yang berterusan pada masa hadapan.

"Oleh itu, segala permintaan dan kolaborasi menjadi tujuan utama bagi mengekalkan industri ini kekal relevan dan berterusan sehingga kini," katanya.

Menurut Nora, sempena menyambut Hari Masscomm yang ke-50 tahun, kolaborasi ini memberi penamat yang gemilang seiring dengan perkembangan semasa ke semasa.

Sementara itu, wakil Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa Josai International University, Tomoko Hirose menyambut baik kerjasama itu.

Kolaborasi ini memberi kelebihan kepada institusi pengajian untuk bersama-sama berkongsi pengajaran dan ilmu bagi penambahbaikan prestasi serta mengekalkan imej komunikasi pengajian media dengan lebih jitu.

Justeru, pencapaian silibus program dalam mewujudkan hubungan kolaboratif antara dua hala amatlah penting kerana ia membuka ruang untuk mewujudkan senario yang harmoni dan berprestij.

Sementara itu, dalam lawatan itu, UiTM bersama salah sebuah syarikat penerbitan terbesar Jepun iaitu Kodansha melaksanakan "collaborative learning" di mana pelajar-pelajar penerbitan UiTM mengikuti seminar bersama pihak Kodansha bagi mengukuhkan penguasaan kemahiran pelajar penerbitan dari segi ilmu cetakan buku fizikal mahupun digital.

Pihak Kodansha juga bersetuju untuk meneruskan "knowledge transfer" secara fizikal atau dalam talian bersama pelajar penerbitan UiTM pada masa akan datang.

Menerusi perkongsian Ketua Editor Kodansha, Kanai Akira, cetakan fizikal masih relevan sehingga kini walaupun beberapa cetakan buku diubah kepada format digital mengikut trend semasa.

Menurutnya, koleksi buku anime manga masih popular dalam kalangan pembaca anime itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 9:17 PM