GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pembantu tadbir dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 10 pertuduhan menerima wang berjumlah RM10,500 daripada sebuah syarikat bagi mempercepatkan proses bayaran tuntutan perkhidmatan kawalan keselamatan, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Hairman Mahfar, 41, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Mohd Hairman didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Pembantu Tadbir N19 di Pejabat Pendidikan Daerah Gombak menerima untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM10,500 sebagai balasan untuk memproses dan mempercepatkan proses tuntutan bayaran perkhidmatan kawalan keselamatan daripada Syarikat Alpha Security Network Sdn Bhd, yang tertuduh mengetahui syarikat itu (Alpha Security) mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Ipoh dan Bank Simpanan Nasional Cawangan Mini Sentul di sini antara 23 Disember 2016 hingga 8 Disember 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azeem Hafeez Jamaluddin manakala Mohd Hairman tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 4:50 PM