Salahuddin ketika sidang media Skim Kawalan Harga sempena musim perayaan Krismas 2022 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Salahuddin ketika sidang media Skim Kawalan Harga sempena musim perayaan Krismas 2022 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggerakkan bantuan Program Food Bank Malaysia (PFBM) bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bantuan itu akan digerakkan bermula hari ini dengan memfokuskan makanan yang sudah sedia dimasak bagi memudahkan mangsa banjir.

"Kementerian akan menggerakkan bantuan food bank kepada mereka yang kita dapati perlu untuk mendapat (bantuan) makanan.

"Jadi pasukan pengendali food bank di bawah KPDN akan menghantar bantuan dan ini akan saya umumkan peringkat demi peringkat supaya dapat meringankan beban mangsa banjir," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Salahuddin berkata, bantuan itu disalurkan segera seperti yang sebelum ini di mana, KPDN menghantar bantuan makanan kepada petugas misi menyelamat dan mangsa terselamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor, Jumaat lalu.

"Sebagaimana kita bantu di Batang Kali, pasukan (KPDN) ini akan cepat bergerak (untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bekalan sayur didapati berkurangan disebabkan keadaan cuaca dan banjir yang berlaku terutama di Pantai Timur.

Katanya, pihaknya setakat ini ada menerima laporan mengenai peningkatan harga sayur tempatan dan susulan itu, pegawai penguat kuasa sudah diminta untuk mengambil tindakan lanjut.

"Isu itu saya minta pegawai penguat kuasa pastikan bahawa ia tidak berlaku penyimpanan untuk pencatutan harga.

"Setakat ini yang kita dapati adalah ia berkurangan atas sebab cuaca dan banjir yang berlaku khususnya di negeri Pantai Timur," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini juga, bekalan makanan di semua negeri yang terjejas banjir didapati stabil dan masih terkawal.

Terdahulu, Salahuddin mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 yang berkuatkuasa bermula 23 Disember hingga 27 Disember ini.

Sebanyak 11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP iaitu ayam tua hidup (dikawal di Sarawak), kepak ayam (dikawal di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan), daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah dan ubi kentang import (China).

Selain itu, ia turut membabitkan babi hidup (dikawal peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) yang ketiga-tiganya dikawal di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada masa sama, ayam dan telur ayam sedang dikawal harganya di bawah pelaksanaan penentuan harga ayam dan telur ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 1:38 PM