GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Shah Alam: Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu mendapat ganti rugi RM5 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini berhubung kematian wanita itu pada 2006.

Ini selepas Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan saman yang difailkan oleh ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar serta Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

"Saya dapati plaintif telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan pertama (Azilah), kedua (Sirul) dan ketiga (Abdul Razak).

"Selaku defendan keempat (kerajaan Malaysia), saya dapati, berdasarkan fakta undang-undang, defendan keempat sebagai majikan, bertanggungjawab terhadap tindakan yang menyalahi undang-undang defendan pertama dan kedua - yang dijalankan atas kapasiti pegawai polis," kata hakim ketika menyampaikan keputusan itu secara dalam talian.

Plaintif memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007 mendakwa kematian model itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi dan memohon mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Hakim Vazeer Alam, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata permohonan plaintif untuk ganti rugi sebanyak RM100 juta adalah berlebihan dan tidak boleh ditakrifkan berdasarkan prinsip sahaja.

"Dengan ini diperintahkan supaya defendan bersama-sama membayar plaintif RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan. Ganti rugi ini perlu dikenakan faedah lima peratus dari tarikh saman difailkan," katanya.

Hakim turut memerintahkan keempat-empat defendan masing-masing membayar kos RM25,000.

Ketika membacakan penghakimannya, hakim menyatakan bahawa menurut sepupu Altantuya, Namiraa Gerelmaa, si mati berhasrat bertemu Abdul Razak yang dikatakan menjalin hubungan dengan mendiang ketika itu, untuk mendapatkan upah terjemahan yang dilakukannya untuk beliau di Paris.

"Selepas beberapa kali gagal untuk bertemu Abdul Razak di pejabatnya, si mati membuat kemunculan di rumahnya di Damansara Heights. Pada malam 19 Okt 2006, Altantuya bersendirian pergi semula ke kediaman Abdul Razak selepas beliau memberi kebenaran untuk bertemu.

"Bagaimanapun, Abdul Razak telah meminta Sirul dan Azhar untuk 'berurusan' dengan si mati, yang kemudian membawa mangsa menaiki kereta Azhar ke suatu lokasi di Puncak Alam di sini, dan menembaknya serta mereka juga mengikatnya dengan bahan letupan dan meletupkannya," jelas hakim itu.

Hakim Vazeer Alam menambah apabila bukti diteliti, jelas bahawa defendan pertama dan kedua tidak mengenali si mati.

"Hubungan mereka dan si mati adalah melalui Abdul Razak, iaitu Abdul Razak yang meminta bantuan defendan pertama. Defendan pertama (Azilah) telah memberitahu defendan ketiga (Abdul Razak) bahawa dia boleh 'habiskan perempuan itu dan beliau pernah buat sedemikian beberapa kali'.

"Abdul Razak telah dinasihatkan agar membuat laporan polis dan menghantar si mati pulang. Beliau tidak mengambil tindakan itu tetapi sebaliknya meminta bantuan daripada pembunuh yang boleh menangani si mati. Tiada alasan munasabah daripada defendan pertama dan kedua untuk membunuh si mati dan meletupkan mayatnya. Satu-satunya kaitan antara mereka adalah defendan ketiga, yang mahu gangguan oleh si mati dihentikan," kata hakim.

Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa Altantuya dan anak sulungnya, Bayarkhuu memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2019. Kerajaan pula mengemukakan tiga saksi manakala Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan.

Peguam Sangeet Kaur Deo, Tan Chee Kian dan Simranjit Kaur Chhran mewakili plaintif manakala peguam P. Mithran, Avtaran Singh dan Eshwinder Kaur Gill bagi pihak Abdul Razak sementara kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamarudin dan Khairuddin Anhar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 12:17 PM