Siti Nor Hidayatidayu Razali


KANAK-KANAK lelaki yang terjatuh di tali air semalam ditemui lemas, hari ini, dalam kejadian di Felcra Teratak Batu, Pasir Puteh.

Mangsa, Mohammad Ilham Hasmadi, 7, ditemui 8 pagi tadi di kawasan sawah dalam jarak 400 meter dari lokasi dia terjatuh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat dan dibantu orang awam yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, kanak-kanak itu adalah mangsa banjir pertama yang lemas di Kelantan.

“Kita bersedih di atas kejadian itu kerana membabitkan kanak-kanak. Saya nasihatkan orang ramai terutama ibu bapa dan penjaga supaya menjaga serta memantau pergerakan anak-anak mereka.

“Elakkan anak-anak kecil bermain air di musim banjir kerana membahayakan nyawa mereka,” katanya dalam sidang media selepas Program Berkhatan Anak-anak Peringkat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, kanak-kanak lelaki terbabit terjatuh dari titi ke dalam tali air ketika menemani bapa saudaranya memasang pukat di tali air di kampung itu 6.30 petang semalam.

Berita berkaitan

Kanak-kanak ikut memukat, dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 11:09 AM