KEMALANGAN babitkan Toyota Vios dan Honda City di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
KEMALANGAN babitkan Toyota Vios dan Honda City di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 74 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat sini membongkar kegiatan penyeludupan daun ketum oleh seorang daripada pemandu kenderaan itu.

Dalam kemalangan kira-kira 1.30 tengah hari tadi, polis menemui 158 kilogram (kg) daun ketum dianggar bernilai lebih RM4,000 dalam but kereta Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Kuala Krai, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Akibatnya, kereta itu bertembung dengan Honda City dipandu lelaki berumur 34 tahun.

DAUN ketum yang ditemui dalam but Toyota Vios. Foto Ihsan Polis.
DAUN ketum yang ditemui dalam but Toyota Vios. Foto Ihsan Polis.

"Pertembungan menyebabkan pemandu Toyota Vios kritikal kerana cedera di kepala, dada dan kaki, manakala pemandu Honda City patah tangan kanan.

"Turut ditemui 158kg daun ketum dibungkus dalam plastikt, dalam but Toyota Vios," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 10:06 PM