GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor merekodkan kutipan RM20 juta bagi caj beg plastik 20 sen sejak 2020 hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, kutipan tinggi yang direkodkan disebabkan kurangnya penguatkuasaan susulan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pada 2020, RM6,652,899 kutipan direkodkan, diikuti RM8,512,567.73 pada 2021 dan sehingga Jun tahun ini, jumlah kutipan direkodkan adalah RM4,834,983.94.

Katanya, jumlah kutipan sehingga Disember tahun ini dijangka meningkat sehingga RM9 juta.

"Saya mengaku, ia adalah masalah daripada segi penguatkuasaan terutamanya semasa pandemik yang mana kita beli kelonggaran kepada peniaga berikutan pendapatan serta perniagaan mereka tidak begitu bagus.

"Kita tidak mahu menyusahkan mereka. Justeru, penguatkuasaan kurang dijalankan dalam tempoh berkenaan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) yang bertanya berkaitan tindakan kerajaan terhadap isu penggunaan plastik yang semakin berleluasa.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, penguatkuasaan secara besar-besaran akan dilaksanakan bermula tahun hadapan yang mana tindakan seperti menarik balik lesen premis perniagaan mungkin diambil.

"Kita juga mungkin akan mencadangkan untuk menaikkan caj kutipan atau mengadakan hari tanpa beg plastik yang mana tiada penjualan plastik dengan caj 20 sen dibenarkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Loy Sian memaklumkan, bagi mencegah kejadian pembuangan sisa industri di tebing-tebing sungai daripada berulang, kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) turut mengambil beberapa tindakan susulan.

Ia seperti melaksanakan kawalan di peringkat punca iaitu penguatkuasaan ke atas 4,918 premis yang menghasilkan sisa buangan terjadual di negeri ini bagi memastikan sisa buangan diuruskan secara selamat mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Dianggarkan, dua juta metrik tan buangan terjadual dijana daripada industri-industri di Selangor," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Luas juga sedang menggerakkan inisiatif dasar 'Polluters Pay Principle' (PPP) dan 'Zero Discharge Policy' (ZDP).

Katanya, polisi berkenaan adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar.

"Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya.

"Ia seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik atau teknologi hijau seperti kitar semula efluen.

"Selain itu, kerajaan negeri juga menjalankan penguatkuasaan secara bersasar, pemantauan 24 jam dan memantau tebing-tebing menggunakan dron," katanya.

Beliau menjawab soalan Gunarajah George (PH-Sentosa) yang bertanya mengenai pembuangan sisa industri di tebing sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:23 PM