Ruwaida Md Zain


LEBIH 1,000 tong drum dan 'jumbo bag' disyaki mengandungi enapcemar minyak, enapcemar getah, buangan pigmen dan campuran buangan toksik dan berbahaya ditemui di tapak pembuangan haram di Jalan Sijangkang Utama, Johan Setia, Klang.

Menteri Alam Sekitar dan Air Putrajaya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penemuan itu adalah hasil risikan dan intipan yang dijalankan selama sebulan, termasuk pemantauan dengan menggunakan teknologi dron.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya mengesan dan menyita tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya yang dipercayai beroperasi lebih tiga bulan lalu iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

"Pada 14 Julai lalu, 40 anggota penguatkuasa dari JAS Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Daerah/Tanah Klang melakukan serbuan awal ke atas dua lot tanah berkeluasan 1.012 hektar yang diuruskan operator haram itu.

"Siasatan lanjutan mendapati dianggarkan terdapat lebih 1,000 sisa toksik dan bahan terjadual yang mengakibatkan pencemaran bau di lokasi ini," katanya dalam sidang media di tapak pembuangan haram itu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian.

Tuan Ibrahim berkata, JAS kini sedang membuat pensampelan ke atas bahan buangan terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu di mana keputusan akan dapat diperolehi selepas tiga minggu.

"JAS juga akan menjalankan 'finger printing' dan pengumpulan bahan bukti untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

"Kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu Seksyen 16, Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000, " katanya.

Beliau berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bekerjasama dengan Kerajaan Selangor menguatkuasakan peraturan dan sudah mengenalpasti pemilik tanah terbabit dan tindakan perundangan juga akan diambil oleh kerajaan negeri.

"KASA tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan bertindak tegas terhadap pembuangan sisa terjadual yang tidak mengikut peraturan sepatutnya.

"KASA harap tindakan kali ini benar-benar memberikan pengajaran, saya akan pastikan hukuman semaksimum mungkin dan kita akan memastikan bahawa insiden begini akan dipantau dengan lebih dekat pada masa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah/Daerah Klang sudahpun mengeluarkan Notis untuk Memulihkan Perlanggaran Syarat Tanah (Notis 7A) ke atas pemilik tanah terbabit.

"Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti, itu tanah hak milik berstatus pertanian yang melanggar syarat guna tanah.

"Pejabat tanah sudah mengeluarkan Notis 7A mengikut Seksyen 127 Kanun Tanah Negara 1965 dalam tempoh satu bulan, jika gagal tindakan rampasan tanah boleh diambil terhadap kedua-duanya.

"Di sini satu lot, satu lot lagi di tempat lain, juga melanggar syarat guna tanah," katanya.

PEGAWAI Penyiasat JAS Selangor, Nik Zailan Nik Abdul Rahman (kanan) dan Zafani Yakub menunjukkan sampel bahan buangan toksik. FOTO Faiz Anuar
PEGAWAI Penyiasat JAS Selangor, Nik Zailan Nik Abdul Rahman (kanan) dan Zafani Yakub menunjukkan sampel bahan buangan toksik. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 1:10 PM