Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Harga baru telur ayam akan diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman itu bakal mengurangkan kebergantungan bekalan telur kepada kartel.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu serta mengarahkan beberapa langkah diambil terhadap isu bekalan telur yang dihadapi negara.

"Perincian mengenainya akan diumumkan beliau (Mohamad) pagi esok dan diharapkan harga telur yang akan diumumkan esok lebih murah dan mengurangkan kebergantungan kepada kartel demi memastikan bekalan cukup dan harga dikurangkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Kabinet di sini hari ini.

Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui bahawa negara sedang berdepan masalah ketiadaan telur di pasaran ketika ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Katanya, ketiadaan stok itu mencetuskan keresahan kepada rakyat selain merencatkan pertumbuhan ekonomi kerana banyak kegiatan perniagaan memerlukan bahan mentah itu.

Isu kekurangan bekalan telur ayam mula diperkatakan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila banyak kedai runcit dan pasar raya yang melaporkan kehabisan bekalan secara tiba-tiba.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan tiada asas kukuh mengaitkan bekalan telur disorok dan kemudian dilambakkan kerana PRU-15.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, bekalan telur masih belum stabil sepenuhnya malah tinjauan dan pemeriksaan pihaknya mendapati beberapa negeri masih berdepan masalah bekalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:04 PM