Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan harga ayam yang dijual di pasaran adalah stabil.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah hasil pemantauan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang dibuat secara bulanan.

"Bekalan ayam juga pada masa kini adalah stabil dan faktor ini turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sama ada harga ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga.

Sim juga ingin mengetahui sama ada subsidi telur gred A, B dan C akan diteruskan, atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, purata harga ayam di ladang yang direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia pada November tahun lalu, ialah RM5.85 sekilogram dan Disember 2023 pula RM6.39 sekilogram.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Bagi Januari 2024 katanya, purata harga ayam adalah RM6.13 sekilogram dan pada Februari 2024 adalah RM6.03 sekilogram.

Dalam pada itu katanya, kerajaan berpandangan subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan dengan menggunakan mekanisme sedia ada.

"Sebarang perubahan dasar akan mengambil kira semua faktor khususnya trend bekalan semasa.

"Kerajaan akan sentiasa memantau pengeluaran di peringkat ladang bagi memastikan bekalan telur mencukupi, khususnya ketika musim perayaan.

"Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan bekalan telur di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 12:28 PM