BERNAMA

Serdang: Malaysia belum membuat keputusan untuk menyekat kemasukan makanan bersumberkan hidupan laut dari Jepun susulan pelepasan sisa air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kajian sedang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar alam sekitar bagi menilai risiko sebelum sebarang pendirian dibuat.

"Belum buat keputusan (menyekat) dan pendirian akan dibuat sekiranya kajian menunjukkan bahaya kepada penduduk di dunia ini," katanya kepada media selepas merasmikan Show-tech Mardi anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini, hari ini.

Media melaporkan beberapa negara antaranya China dan Hong Kong mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan makanan laut dari Jepun susulan pelepasan air radioaktif terawat.

MOHAMAD Sabu. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD Sabu. FOTO arkib NSTP

Sementara itu, Mohamad berkata, fokus kerajaan adalah pada keterjaminan bekalan makanan khususnya beras, memandangkan negara seperti India dan Vietnam telah memberi amaran awal akan menaikkan harga atau lebih membimbangkan, menghentikan eksport.

Beliau berkata, persediaan awal mesti dibuat untuk mencukupkan bekalan beras menerusi teknologi baharu dan penyelidikan, susulan kebergantungan import beras negara ketika ini adalah sebanyak 35 peratus.

Sementara itu, beliau berkata, Show-tech Mardi adalah platform untuk mempamerkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan institut itu sejak 54 tahun lalu kepada masyarakat dan pemain industri.

Pameran yang bermula hari ini hingga Ahad adalah seiring dengan usaha Mardi menghasilkan teknologi dan inovasi bagi merancakkan sektor pertanian dan agromakanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 2:46 PM