GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berterusan di kawasan pedalaman dan pantai barat Semenanjung, utara dan pedalaman Sarawak serta barat Sabah bermula esok.

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, berdasarkan analisis model cuaca, angin dijangka bertiup lemah dari pelbagai hala sehingga esok dan berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang pada sebelah petang hingga ke malam.

"Mulai 7 Disember (Rabu ini), angin timuran kencang dijangka berlaku di pantai timur dan utara Semenanjung, keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan berterusan di kawasan berkenaan dalam tempoh terbabit.

"MetMalaysia memantau keadaan ini dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Lebat Berterusan Peringkat Waspada sekiranya perlu," katanya, hari ini.

MetMalaysia mengingatkan orang awan supaya merujuk laman web www.met.gov.my dan serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 11:49 AM