PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan di Pusat Mengundi Awal di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini (gambar sekadar hiasan). FOTO Bernama
PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya membuat persiapan di Pusat Mengundi Awal di Dewan Utama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini (gambar sekadar hiasan). FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik pada sebelah pagi di beberapa negeri pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Jabatan itu dalam laman sesawangnya meramalkan tiada hujan pada sebelah pagi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan dijangka berlaku di kebanyakan negeri pada sebelah petang terutamanya membabitkan negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta negeri di sebelah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Putrajaya dijangka cuaca baik pada sebelah pagi dan petang, manakala Labuan pula diramal mengalami ribut petir di beberapa tempat pada pagi dan petang.

Cuaca dijangka baik di Sarawak pada pagi Sabtu namun ribut petir diramal berlaku di satu dua tempat di kawasan pedalaman di negeri itu pada waktu petang, manakala Sabah dijangka mengalami ribut petir di satu dua tempat pada pagi dan petang.

Suhu di seluruh negara diramal sekitar 22 darjah Celsius dan maksimum 33 darjah Celsius pada hari berkenaan.

MetMalaysia berkata, berdasarkan analisis model cuaca, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan tempat di pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutamanya pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh ramalan antara 15 November hingga 21 November ini.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:26 PM