GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang awam agar tidak terlalu bimbang dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan di laman web rasmi kedutaan Amerika Syarikat (AS) kepada rakyat mereka di negara ini.

Menurut MetMalaysia, amaran yang dikeluarkan oleh kedutaan AS itu adalah susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada pertengahan November hingga Mac 2023, namun orang ramai disarankan untuk bersiap sedia sewajarnya bagi menghadapi fasa cuaca itu.

Justeru, orang awam disarankan mengikut arahan agensi pengurusan bencana negara semasa kejadian banjir dan diminta untuk lebih peka dengan sebarang perubahan cuaca.

"MetMalaysia melakukan pemantauan cuaca secara berterusan 24 jam sehari sepanjang tahun dan amaran cuaca dikeluarkan sekiranya dijangka berlaku ribut petir, hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora serta siklon tropika.

"Amaran cuaca itu akan dihebahkan melalui pelbagai saluran kepada orang awam termasuk warga AS di Malaysia," menurut kenyataan MetMalaysia hari ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web iaitu www.met.gov.my aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia serta talian utama di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

MetMalaysia dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan lebat dalam tempoh fasa cuaca itu yang boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan rendah selain risiko bencana lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:22 PM