FOTO hiasan
FOTO hiasan
Suzianah Jiffar


SABAH menjadi negeri pertama menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2019).

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata, Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan dua pertiga undi daripada ahli dewan.

“Saya fikir dengan sokongan terhadap pindaan itu, Sabah adalah negeri pertama menurunkan had umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun.

“Ini juga sejajar Akta Umur Dewasa 1971 dan takrifan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu dengan kebanyakan dunia sudah menurunkan had umur mengundi.

“Justeru dengan kelulusan DUN Sabah hari ini, bermakna pada pilihan raya akan datang, anak muda umur 18 tahun sudah boleh menjadi calon,” katanya selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2019 dalam Sidang DUN di Kota Kinabalu, hari ini.

Aidi berkata, sokongan itu juga menunjukkan kerajaan Sabah prihatin terhadap anak muda di negeri ini dalam membuat dasar.

Julai lalu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun.

Seramai tujuh wakil rakyat membahaskan rang undang-undang itu antaranya Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan), Datuk Masidi Manjun (BERSATU-Karanaan) dan Datuk Osman Jamal (WARISAN- Balung).

Terdahulu ,dalam pembentangan rang undang-undang, Aidi berkata, cadangan menurunkan had usia mengundi menunjukkan kerajaan sekarang menilai betapa peranan belia amat penting menentukan corak masa hadapan negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 3:15 PM