Anggota APM menyelamat mangsa banjir. FOTO Ihsan APM
Anggota APM menyelamat mangsa banjir. FOTO Ihsan APM
Rosman Shamsudin


Slim River: Seramai 13 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kilat di Kampung Sungai Muda dan Kampung Lintah Piung, dekat sini, tengah malam tadi.

Dua penduduk dipindahkan ke PPS Surau Kampung Sungai Muda manakala 11 lagi mangsa banjir dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Slim Village.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muallim Mohamad Fitri Hassan berkata, hujan lebat sejak petang semalam sehingga tengah malam tadi menyebabkan paras air Sungai Slim meningkat mendadak.

"kira-kira 11 rumah terjejas serta dimasuki air akibat kejadian itu sehingga jam 2 petang tadi dan lima keluarga dilaporkan terjejas.

"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi berkaitan akan terus memantau keadaan situasi semasa berikutan hujan masih renyai-renyai dan cuaca masih mendung di kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan media ,hari ini.

Operasi menyelamat dibantu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Muallim.

Mohamad Fitri yang juga Pegawai Daerah Muallim menasihati mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:24 PM