GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Seramai 15,554 belia di Sabah mendapat pekerjaan melalui pelbagai program dan inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) setakat November tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, jumlah itu termasuk belia yang mendapat pekerjaan melalui program yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah.

"Secara keseluruhan, 15,554 belia mendapat pekerjaan melalui pelbagai program dan inisiatif KSTI serta Perkeso bagi 2022 setakat ini," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dumi Pg Masdal (Warisan-Silam) berkaitan langkah kerajaan negeri mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan lepasan sekolah.

Yakub berkata, melalui kementeriannya, beberapa inisiatif dilaksanakan bagi membantu lepasan sekolah dan belia mendapatkan kerja.

Ia antaranya melalui Sabah Talent Entrepreneurship Programme (STEP) di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.

"Setakat ini, tiga program STEP yang disertai 60 lepasan sekolah dan belia Sabah dilaksanakan. Program ini bertujuan melahirkan usahawan belia yang dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang baharu.

"Ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan belia terhadap pekerjaan sektor kerajaan dan swasta.

"Selain itu, KSTI juga melaksanakan program Pitchborneo (Program mencungkil usahawan berasaskan teknologi) dan kita berjaya melahirkan 1,300 usahawan sehingga kini dengan 112 orang turut menerima sumbangan untuk mengembangkan idea dan produk mereka berjumlah RM20,000 bagi setiap syarikat," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya menawarkan 15 jenis kursus dan latihan teknikal, vokasional dan kejuruteraan (TVET) melalui JPSM kepada pelajar lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, latihan di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) di bawah JPSM itu membolehkan pelatih menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Kemahiran JPSM, Petronas dan Suruhanjaya Tenaga.

Beliau berkata, KSTI turut melaksanakan kursus latihan jangka panjang dan Hospitality Engagement Learning Programme (HELP) dengan rangkaian hotel lima bintang terpilih.

Sementara itu, katanya, di bawah Perkeso, 11 siri Jelajah Karnival Kerjaya dilaksanakan di seluruh

Sabah setakat ini dengan 1,390 berjaya ditawarkan pekerjaan, selain dua siri temuduga di bawah JPSM Sabah dengan 16 individu berjaya mendapat pekerjaan.

"Peluang pekerjaan juga ditawarkan melalui Sabah Jobs Portal (JPSM) dan MyFutureJobs (Perkeso) sebagai platform pencarian kerja.

"Sehingga kini, 4,634 pencari kerja dan 170 majikan berdaftar di Sabah Jobs Portal manakala 84,078 jawatan kosong diiklankan oleh 6,712 majikan melalui portal MyFutureJobs," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 1:18 PM