HAJIJI Noor. FOTO Arkib NSTP.
HAJIJI Noor. FOTO Arkib NSTP.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Keputusan yang dibuat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk kebaikan negeri ini.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya sudah menyampaikan hasrat pihaknya kepada Anwar malam tadi.

"Saya telah sampaikan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan saya, GRS kepada Anwar malam tadi.

"Demi kebaikan negeri Sabah, kestabilan politik dan sebagainya maka kita telah memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan beliau," katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri Sabah itu turut berkata pihaknya tidak mahu rancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negeri terganggu disebabkan politik.

Sebaliknya, beliau mahu segala agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan sebagai keutamaan untuk rakyat Sabah.

"Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah negeri Sabah, jadi kita tidak mahu terlalu berpolitik dan bermacam gangguan kerana bagi kita, yang penting ialah kepentingan rakyat dan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata jalinan kerjasama pihaknya dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak menjejaskan hubungan GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.

"Saya ingat tiada masalah. Semua pemimpin parti berfikiran matang. Mereka juga memikirkan negeri ini dan rakyatnya.

"Apa yang penting kita memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, membangunkan negeri Sabah serta memberi kesejahteraan kepada rakyat," katanya.

Selain itu, Hajiji turut ditanya pemberita sekiranya kerajaan negeri akan membuat tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya menyerahkan segala keputusan kepada Kerajaan Persekutuan.

E

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 6:58 PM