Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Raja-Raja Melayu mula berangkat tiba di Istana Negara bagi menghadiri perbincangan khas bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan isu bakal calon Perdana Menteri kesembilan dan kerajaan.

Tumpuan seluruh negara hari ini terarah kepada perbincangan khas itu yang dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang.

Ketibaan berangkat bermula 1.57 tengah hari dengan kenderaan membawa Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sultan Kedah berangkat tiba bagi menghadiri Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara. FOTO Asyraf Hamzah
Sultan Kedah berangkat tiba bagi menghadiri Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara. FOTO Asyraf Hamzah

Ia diikuti dengan keberangkatan tiba Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada pada 2.14 petang, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2.22 petang dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2.24 petang.

Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba pada 2.33 petang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 2.36 petang.

Bagaimanapun, tidak kelihatan kenderaan membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:40 PM