Essa Abu Yamin


Muar: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar pada jam 9.15 pagi ini.

Beliau yang juga calon PN Parlimen Pagoh itu tiba di pusat mengundi berkenaan pada jam 9.00 pagi dengan diiringi isteri serta beberapa pegawainya.

Muhyiddin pada masa yang sama turut mengharapkan agar pengundi membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini dalam menentukan masa depan negara.

"Saya dan isteri sudah selesai tunaikan tanggungjawab sebentar tadi dan saya tak nak rahsiakan, saya pangkah Perikatan Nasional," katanya ketika ditemui di perkarangan luar pusat mengundi hari ini.

Muhyiddin dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pagoh.

Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin yang menang pada PRU-14 dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon Pas Ahmad Nawfal Mahfodz dan dan calon BN Ismail Mohamed.

Manakala Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU-11, PRU-12 dan PRU-13, namun tewas pada PRU-14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ketika itu bertanding atas tiket PKR, dengan majoriti 6,953 undi di kerusi Parlimen Muar.

MUHYIDDIN bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di SMK Sri Muar. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
MUHYIDDIN bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di SMK Sri Muar. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:10 AM