POSTER mendiang Karupaiya akan diturunkan jentera PH dalam tempoh terdekat. FOTO Danial Saad
POSTER mendiang Karupaiya akan diturunkan jentera PH dalam tempoh terdekat. FOTO Danial Saad
Izad Thaqif Hassan dan Noorazura Abdul Rahman


Kulim: Calon yang bertanding di kerusi Parlimen Padang Serai mula memberhentikan kempen mereka sebagai tanda penghormatan kepada penyandang kerusi itu, mendiang M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia semalam.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati poster semua calon termasuk Karupaiya yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masih tergantung sekitar Padang Serai.

Difahamkan, jentera parti PH akan menurunkan poster wajah mendiang yang digantung di semua bilik gerakan parti dan jalan dalam tempoh terdekat ini.

Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj menjadi antara pemimpin terawal menghentikan serta-merta segala kempen PRU-15 sebaik menerima berita kematian Karupaiya.

Katanya, tindakan itu adalah sebagai tanda hormat kepada mendiang yang meninggal dunia secara mengejut di Hospital Kulim petang semalam.

"Secara peribadi saya memang tidak mengenali mendiang, namun kami pernah bersama menghadiri program di kawasan ini.

"Berikutan itu, sebagai tanda hormat atas pemergian mendiang, saya hentikan serta-merta semua kempen dan akan menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin turut memaklumkan menghentikan semua kempen khususnya ceramah berikutan SPR tidak lagi mengeluarkan permit sehingga pengumuman baru dikeluarkan.

"Dalam mesyuarat bersama Pejabat Daerah Kulim dan SPR Kedah hari ini, wakil saya dimaklumkan bahawa kempen melalui ceramah perlu dihentikan sementara sehingga pengumuman baru dikeluarkan.

"Bagi pihak PN, kita akan akur dengan arahan itu dan kami turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan penyokong mendiang, saya harap mereka bersabar dan tabah," katanya.

Mendiang Karupayia disahkan meninggal dunia jam 2.27 petang semalam akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Hospital Kulim.

Mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai selepas memenanginya buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dengan meraih majoriti 8,813 undi.

Pada PRU-15 kali ini, mendiang berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Sivaraj, Azman, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

Susulan kematian mendiang, SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan penetapan tarikh penting urusan PRU-15 di kerusi Parlimen Padang Serai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 5:20 PM