WAN Rosdy (tiga dari kiri)  beramah mesra dengan peniaga kecil ketika  berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15.
WAN Rosdy (tiga dari kiri) beramah mesra dengan peniaga kecil ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15.
Asrol Awang


   

Sejak hari penamaan calon, Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL turun padang dan menjelajah 14 Parlimen dan 42 Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk memastikan kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Di sebalik jadual padat sepanjang kempen itu, Harian Metro sempat menemuramah dan bertanyakan harapan beliau pada pilihan raya kali ini.


Boleh huraikan pencapaian sepanjang tempoh 55 bulan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri sehingga berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri iaitu melepasi sasaran RM1 bilion tahun ini?

Saya gembira apabila setiap tahun bermula dari 2019, kutipan hasil meningkat iaitu berjumlah RM847 juta, diikuti RM850 juta pada 2020, RM866 juta (2021) dan tahun ini berjaya mengutip RM1.037 bilion sehingga 7 Oktober lalu.

Kejayaan itu meletakkan Pahang berada pada kedudukan setaraf dengan negeri lain yang merekodkan pendapatan hasil melepasi RM1 bilion.

Pahang juga memperoleh RM20.56 bilion dalam pelaburan, melebihi sasaran RM18 bilion.

Sepanjang tempoh empat tahun, Pahang berjaya mengurangkan hutang daripada RM3.31 bilion kepada RM952.21 juta dan kami berjaya menyalurkan bantuan dan kebajikan berjumlah RM77.85 juta kepada golongan yang memerlukan melalui program diperkenalkan seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) terutama kepada golongan yang terkesan akibat penularan Covid-19 dan bantuan lain seperti berlaku bencana alam serta Program Pahang Pride terutama membantu golongan wanita dan warga emas. Kita ada bukti, angka tidak pernah berbohong.

   


Apa yang memberikan keyakinan kepada Datuk Seri bahawa BN Pahang akan memenangi antara 30 dan 33 kerusi Dun pada PRU-15 berbanding 25 kerusi Dun pada PRU-14 lalu?

Sebaik BN diberi mandat untuk mentadbir Pahang pada PRU-14 dan saya pula dipilih untuk menerajui Pahang, saya memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu yang membantu mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat.

Saya sedar bahawa ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum kita berdepan semula dengan rakyat untuk mendapatkan mandat mereka.

Oleh itu, semua inisiatif dan langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan BN yang dibentangkan kepada rakyat untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan pada hari pengundian.

BN sudah berusaha sedaya-upaya untuk melakukan yang terbaik di Pahang. Saya percaya kerajaan BN amat relevan kepada rakyat dari segi menghulurkan pelbagai bantuan.

Bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan termasuk mangsa banjir. Saya juga memastikan kedudukan kewangan yang kukuh dan berusaha untuk menyelesaikan hutang.

BN mempunyai rekod prestasi yang terbaik iaitu tiada janji, lihat bukti.

   

WAN Rosdy  (kanan) bertemu pengundi muda ketika Program Santai Anak Muda Dun Chenor.
WAN Rosdy (kanan) bertemu pengundi muda ketika Program Santai Anak Muda Dun Chenor.


Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) percaya parti mereka yakin untuk menamatkan pentadbiran BN di Pahang pada PRU-15. Adakah BN melihatnya sebagai satu ancaman?

Sebenarnya, itu adalah perkara biasa, kita akan menghadapi pilihan raya. Parti politik di sebelah sana (pembangkang) ada mengeluarkan kenyataan yang mendakwa mereka akan memperoleh kemenangan dalam PRU-15 dan saya fikir ini bukan perkara baharu dengan mengeluarkan kenyataan itu.

Bagi saya, rakyat boleh menilai prestasi dan pencapaian yang dilakukan Kerajaan BN.

Walaupun mereka membuat dakwaan sedemikian, BN tidak akan berdiam diri sebaliknya kita mempertingkatkan usaha dan lebih-lebih lagi kita sudah menunaikan janji-janji kita.

Mereka di sebelah sana boleh berkata apa sahaja tetapi orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan janji kosong yang dibuat semasa berkempen.

Jangan sesekali terbawa-bawa atau keliru, tetapi sebaiknya meluangkan masa untuk menilai apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan BN selama empat tahun ini pada penggal lalu.

   


Apakah rancangan BN untuk rakyat di Pahang jika terus mendapat mandat mentadbir negeri pada PRU-15?

Apabila diberi kepercayaan untuk memimpin penggal akan datang, kita tidak boleh berasa selesa tetapi berusaha untuk melakukan yang lebih baik berbanding penggal sebelumnya. Kita mungkin sudah mencapai beberapa keputusan yang membanggakan antara 2018 dan 2022 tetapi saya pasti rakyat tidak mahu melihat kerajaan yang mereka undi memilih untuk terus leka.

Kerajaan BN sudah pun meletakkan asas dari segi menangani hutang dan pelaburan.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita membawa lebih banyak perubahan dengan tujuan untuk menaikkan nama negeri.

Sebagai contoh, projek Perumahan Rakyat Pahang (RRP) ketika diperkenalkan pada 2020 hanya menawarkan dua unit setiap satu di semua 42 Dun sebelum dinaikkan kepada enam unit tahun ini dan tahun depan setiap Dun akan mendapat lapan unit dan satu unit setiap Parlimen yang membabitkan kos sebanyak RM30.75 juta.

   


Apakah hasrat dan harapan daripada 1.13 juta pengundi di Pahang pada hari pengundian esok?

Saya harap pengundi akan membuat pilihan berdasarkan prestasi serta rekod BN selepas PRU-14 sehingga dibubarkan.

Jika BN kekal diberi mandat, rakyat pastinya akan menikmati lebih banyak bantuan yang akan diterima pada masa akan datang.

Harapan saya menjelang hari pengundian esok, rakyat yang layak mengundi dapat keluar awal dan mengundi BN kerana saya percaya rakyat dapat menilai dan mengukur prestasi kerajaan BN sepanjang tempoh itu.

Saya berharap usaha yang dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan sekiranya mandat diberikan rakyat kepada BN dan banyak perkara lagi akan dilaksanakan dan ditingkatkan kecemerlangan dan kegemilangan.

Saya tahu apabila diberikan mandat rakyat akan tunggu dan kerajaan BN akan melaksanakan perubahan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:45 AM