KEADAAN kereta dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta dinaiki mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Wanita meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama enam ahli keluarganya melanggar bahagian belakang sebuah lori berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh di Lebuhraya Utara-Selatan, menghala ke Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.21 pagi.

"Seramai lapan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan Honda Accord dinaiki tujuh sekeluarga melanggar bahagian belakang sebuah lori di laluan sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, kemalangan itu mengakibatkan seorang wanita berusia 38 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Suami mangsa, 50, dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun pula dilaporkan parah, manakala empat lagi anak mereka termasuk bayi kembar berusia antara lapan tahun hingga lapan bulan pula dilaporkan cedera.

"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 8:18 AM