Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 1,817 mangsa banjir daripada 488 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 22 pusat pemindahan sementara (PPS).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan berkata, sehingga jam 4 petang tadi, terdapat pertambahan mangsa di tiga lagi negeri menjadikan enam negeri terkesan dengan bencana banjir.

Menurutnya, negeri yang terjejas ialah Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

"Pada jam 10 malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga hari ini di Kelantan dan Terengganu.

"Kawasan yang berpotensi menerima impak ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan dan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun di Terengganu.

"Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir di Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

"Situasi ini dikhuatiri turut menyumbang kepada situasi banjir semasa terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung," katanya.

Nadma berkata, pada jam 3 petang tadi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat dalam tempoh 12 jam akan datang bagi Johor (Batu Pahat, Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi), Terengganu (Dungun), Kedah (Kota Setar, Kuala Muda, Yan), Sabah (Papar, Tuaran), Sarawak dan Selangor (Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Sepang).

ANTARA rumah penduduk dilanda banjir ketika tinjauan di sekitar Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
ANTARA rumah penduduk dilanda banjir ketika tinjauan di sekitar Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

"Banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan dan amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk berwaspada dan siapsiaga.

"JPS juga menghantar pam ke kawasan Meru, Klang bagi membantu mempercepatkan aliran air keluar ke sungai," katanya.

Katanya, memandangkan air di kawasan kediaman masih tinggi, usaha itu diharapkan dapat membantu proses pengeringan.

"Usaha yang dilakukan kerajaan negeri dengan sokongan pihak JPS ini akan diteruskan di kawasan lain yang mengalami masalah sama.

"Sementara itu, sehingga jam 6 petang, terdapat dua jajahan iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah yang terkesan banjir," katanya.

Menurutnya, aras air di Stesen Sungai Siam di Kampung Sungai Siam di Lembangan Sungai Johor diramalkan akan melepasi paras bahaya pada jam 6 petang.

"Penduduk di kawasan rendah diarahkan untuk patuh jika diarahkan berpindah.

"Sehingga jam 6 petang ini, terdapat tiga PPS diaktifkan di Segamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 6:56 PM