Zuhainy Zulkiffli

Teluk Kumbar: Penduduk menggesa supaya masalah kesesakan lalu lintas sejak sekian lama berlaku di kawasan ini segera ditangani.

Penduduk, Norhasnah Abdul Hamid, 45, berkata, laluan yang menghubungkan Bayan Lepas dan Balik Pulau itu semakin sesak terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Jika dulu, kesesakan berlaku pada masa tertentu seperti cuaca hujan atau ada kemalangan sahaja tetapi kini, ia berlaku sepanjang masa.

"Sekarang, hendak pulang ke rumah pun ambil masa hampir dua jam berbanding kurang 30 minit, jika bukan waktu puncak," katanya yang bekerja di Bukit Jambul, di sini.

Bagi pemandu e-hailing, Mohd Fa'ad Hazan, 40, pula berkata, dia tidak dapat bayangkan sekiranya projek pembinaan asrama pekerja warga asing terus dijalankan di kawasan itu.

Katanya, sudah tentu apabila projek itu siap kelak, aliran trafik bertambah sesak dipenuhi dengan bas pekerja.

"Kita semua sudah sedia maklum mengenai impak yang bakal berlaku, bukan sahaja membabitkan aliran trafik tetapi daripada segi budaya, kepadatan penduduk, keselamatan dan sebagainya.

"Kami tidak perlukan projek itu, memadailah jika bina kemudahan jalan raya yang baik atau jalan raya bertingkat bagi menyelesaikan masalah kesesakan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal menjelang, Mohd Fa'ad berharap wakil rakyat yang dipilih dapat berunding dengan pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

SATU daripada dua tapak yang dicadangkan bagi projek pembinaan asrama pekerja warga asing Teluk Kumbar. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SATU daripada dua tapak yang dicadangkan bagi projek pembinaan asrama pekerja warga asing Teluk Kumbar. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Terdahulu, kerajaan negeri dilapor bakal membina tiga asrama pekerja asing di Sungai Batu dengan keluasan 2.8 hektar, dan di Teluk Kumbar, masing-masing dengan keluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar selain membabitkan rizab pantai.

Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja, sedangkan jumlah penduduk tempatan di situ, hanya kira-kira 15,000.

Pelbagai siri bantahan dan penyerahan memorandum sudah dilakukan penduduk, namun masih tiada kata putus daripada Kerajaan Pulau Pinang dan pemaju.

Tinjauan Harian Metro ke dua lokasi yang dicadangkan bagi projek itu di Teluk Kumbar mendapati satu daripadanya terletak di kawasan penempatan dan komersial.

Satu lagi dicadangkan ialah berhampiran Taman Sahabat Indah, Kampung Suluk, yang mana dipercayai menjadi laluan utama bagi projek asrama warga asing berkenaan.

Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN) Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan) dan Fadzli Mohamad (Pejuang), Datuk Seri Johnny Chng Ewe Gee (Bebas) selain Sabaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 9:42 AM