SEBAHAGIAN penduduk membantah cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing. FOTO ihsan penduduk
SEBAHAGIAN penduduk membantah cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing. FOTO ihsan penduduk
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Cadangan pembinaan tiga projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar, di sini, oleh pihak swasta mendapat bantahan penduduk setempat.

Projek itu dikhuatiri mengundang pelbagai masalah pada masa depan selain menjejaskan kualiti hidup penduduk.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Baru Mohd Sobri Hamid berkata, penduduk difahamkan projek pembinaan asrama itu bakal menampung seramai 40,000 pekerja warga asing di sekitar kawasan Teluk Kumbar.

Katanya, projek berkenaan didakwa sudah dimulakan apabila MPKK sebelum ini dipanggil dalam mesyuarat secara dalam talian mengenai cadangan itu.

"Pelaksanaan projek itu dikhuatiri menyebabkan bencana banjir, kesesakan lalu-lintas dan yang paling penting ialah keselesaan penduduk.

"Cadangan itu tidak sesuai dibuat di sini kerana akan mengundang pelbagai masalah selain memberi impak sosial, risiko keselamatan dan kesihatan penduduk tempatan," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Sobri bersama kira-kira 30 penduduk mengadakan bantahan aman bagi menggesa kerajaan negeri supaya menolak sebarang cadangan atau pelan pembangunan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, bantahan mengenai cadangan projek itu sudah dibawa kepada kerajaan negeri menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu selain disusuli dengan surat bantahan kepada Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Tempatan.

Beliau berpendapat bahawa projek asrama pekerja asing itu boleh dibangunkan di kawasan tanah besar yang tidak mempunyai penempatan penduduk.

"Saya faham hasrat kerajaan negeri bagi merancakkan sektor perkilangan dalam masa sama perlu mematuhi akta kediaman pekerja asing yang sudah dikuatkuasakan.

"Sekiranya projek itu diteruskan, identiti Teluk Kumbar bakal hilang dan akan dikenali sebagai kawasan mega penempatan warga asing," katanya.

Azrul berkata, pihaknya bimbang nilai hartanah akan merudum manakala ekonomi penduduk setempat nanti akan dikuasai warga asing yang sudah tentu akan mencari peluang perniagaan sesuai dengan rakan senegara mereka.

Katanya, walaupun penempatan asrama pekerja itu berpagar dengan segala kemudahan berada di dalam kawasan berkenaan namun mustahil mereka tidak keluar daripada kediaman.

"Rakyat tempatan juga berhak bagi menyatakan bantahan kerana membabitkan gangguan kepada suasana kehidupan.

"Sehubungan itu, pihak masjid dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sedang mengumpul tandatangan bagi nyatakan bantahan serta menggesa kerajaan negeri membatalkan projek berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 11:15 AM