ISMAIL Sabri ketika majlis perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ISMAIL Sabri ketika majlis perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Pengisytiharan harta bukan sesuatu yang wajib bagi Ahli Parlimen sebaliknya ia buat atas kerelaan sendiri, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini tiada syarat mewajibkan mana-mana calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (Dun).

Menurutnya, kini hanya Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik akan diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka.

"Tidak perlu (isytihar harta) kerana kita hanya buat perkara yang termaktub dalam akta.

"Apabila dah menang nanti Ahli Parlimen juga diminta untuk isytihar harta dulu tapi tidak semua mengisytiharkan harta kerana tiada keperluan.

"Ahli Parlimen boleh berniaga tetapi menteri, timbalan menteri wajib isytiharkan harta," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Calon Pakatan Harapan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diwajibkan mengisytihar harta.

Calon PH bagi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli antara tumpuan umum selepas mengisytihar harta sebanyak RM18.85 juta.

Ismail Sabri berkata, apa yang dilakukan Rafizi adalah keputusannya sendiri dan kini sudah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya, Rafizi mungkin akan disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) susulan pengisytiharan harta yang dibuat.

"Ada yang menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi perangkap kepada mereka yang tidak turut berbuat perkara sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 4:02 PM