Izz Laily Hussein


Pasir Gudang: Polis menahan tiga lelaki, hari ini, selepas disyaki terbabit dalam kejadian merusuh dan merosakkan kereta di sebuah stesen minyak dekat Kota Masai, Taman Kota Masai di sini, malam tadi.

Suspek warga tempatan berusia antara 17 hingga 24 tahun itu ditahan antara jam 10.45 pagi hingga 12 tengah hari tadi di sekitar kawasan Jalan Bunga Raya, Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masai di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, semua suspek ditahan selepas polis bertindak atas maklumat susulan penularan video yang memaparkan insiden berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih lagi dalam usaha mengesan individu lain yang terbabit dalam insiden itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita masih lagi giat mengesan suspek lain yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kita juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri sebaliknya menyerahkan kepada polis menjalankan tugas serta mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Terdahulu, beberapa video memaparkan sekumpulan lelaki merosakkan sebuah kereta tular di media sosial.

Dalam video terbabit kelihatan kenderaan dipercayai Perodua Myvi itu turut diterbalikkan mengakibatkannya rosak.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd Sohaimi berkata, siasatan awal mendapati kekecohan kira-kira jam 9.40 malam tadi itu berlaku selepas daripada kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan.

Katanya, kedua-dua mangsa kemalangan adalah lelaki tempatan berusia 21 tahun.

"Pemandu kereta mendakwa selepas kemalangan itu, datang sekumpulan individu tidak dikenali merosakkan dan menterbalikkan keretanya.

"Kedua-dua mangsa kemalangan mengalami kecederaan selepas kemalangan, namun dilaporkan stabil," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, kejadian itu dipercayai berpunca apabila pemandu kereta berkenaan mengejek orang ramai.

Dakwanya, pemandu kereta pada mulanya dilihat melanggar lampu isyarat merah ketika di simpang empat Jalan Kota Masai 2 di sini.

"Kereta berkenaan tidak berhenti dan terus mengambil selekoh, pada masa sama penunggang motosikal terbabit sedang bergerak terus dengan agak laju.

"Kedua-dua kenderaan gagal mengelak menyebabkan mereka bertembung. Akibat daripada itu, penunggang motosikal patah kaki.

"Pemandu itu cuba melarikan diri, tetapi laluan terhalang menyebabkan dia memasuki stesen minyak berhampiran, sebelum dia dikerumuni orang ramai," katanya.

Tidak lama kemudian, katanya, dua kereta peronda polis tiba di lokasi kejadian dan membawa masuk pemandu kereta ke dalam kereta peronda sebelum lelaki itu dikatakan mengejek orang ramai yang kemudian geram dan bertindak merosakkan keretanya.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lebih lanjut dakwaan itu, Mohd Sohaimi berkata, pihaknya masih dalam proses menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 3:08 PM
SEBUAH kereta dirosakkan beberapa individu dalam kejadian merusuh di sebuah stesen minyak dekat Kota Masai, Taman Kota Masai di sini, malam tadi. FOTO tular
SEBUAH kereta dirosakkan beberapa individu dalam kejadian merusuh di sebuah stesen minyak dekat Kota Masai, Taman Kota Masai di sini, malam tadi. FOTO tular