ZAHID Hamidi  hadir di Majlis Pengumuman Calon PRU-15 Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Genes Gulitah
ZAHID Hamidi hadir di Majlis Pengumuman Calon PRU-15 Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO Genes Gulitah
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Keputusan tegas, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memulih dan menjadi pencetus kepada kebangkitan Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata, bukan mudah memilih yang terbaik dalam kalangan terbaik dan dalam membuat keputusan getir itu, banyak pertimbangan diambil kira sebelum pemilihan calon dimuktamadkan.

"Tahniah kepada semua calon BN yang berjaya dipilih. Sesungguh anda adalah yang terbaik kalangan terbaik.

"Sesungguhnya Top 5 melakukan penyaringan yang terperinci bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan Umno dan BN.

"Mereka inilah juga antara yang ramai dalam BN yang memenuhi ciri kriteria 'WALI' yang kita perlukan untuk memenangi pilihan raya umum pada kali ini, iaitu boleh menang, kebolehterimaan dan disenangi," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya perubahan tidak dilakukan Umno dan BN, ia boleh menyebabkan parti ketinggalan ke belakang di kala parti pesaing melakukan perubahan terutama kalangan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Suara anak muda sangat penting dan kita perlu mendengar dan memberikan peluang calon-calon baharu untuk bertanding.

"Yang sudah lama menjadi wakil rakyat perlu memberikan peluang suara anak-anak mengambil tempat dan kedudukan.

"Ketika yang sudah lama bertanding dahulu mereka juga disokong oleh anak-anak muda dan dewasa yang lain. Tanpa sokongan ini mereka tidak akan dapat menjadi wakil rakyat untuk berpenggal-penggal lamanya," katanya.

Beliau yang kekal bertanding di Parlimen Bagan Datuk berkata, mereka yang tidak terpilih menjadi calon kali ini perlu berjiwa besar menerima keputusan sebagaimana mereka pernah diberikan peluang belasan dan puluhan tahun dahulu.

"Jangan pula cetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj malah cuba tutup bilik gerakan, memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri.

"Mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan ini menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian," katanya.

Beliau berkata, ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.

"Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung.

"Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti Umno dan BN," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, keputusan meletakkan muka baharu juga sebahagian peremajaan parti dan memastikan pembabitan anak muda diberikan tempat dan kedudukan sewajarnya untuk memastikan suara dan undi muda di bawah 40 tahun tidak dipinggirkan.

"Kita perlu menerima hakikat undi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal mengundi pada PRU-15.

"Maka kita perlu pastikan sayap puteri dan pemuda BN berada dalam landasan yang betul di barisan hadapan, di BN, sebab itulah misalnya ketua Puteri Umno Malaysia, ketua Puteri Negeri, Pemuda Umno mengambil tempat dan kedudukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 9:27 AM