GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Suri rumah dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan memukul kepala suaminya dengan menggunakan telefon bimbit hingga cedera, September lalu.

Tertuduh, Noor Nazira Che Ghani, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap suaminya, Ezwan Elias, 27, dengan memukul kepala mangsa dengan telefon bimbit di sebuah pangsapuri di Bukit Katil, kira-kira 11 malam pada 6 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di mana sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan penjamin adalah dalam kalangan ahli keluarga tertuduh.

Tertuduh yang mempunyai dua anak berusia lima tahun dan 17 bulan merayu jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan dalam proses bercerai selain bergantung sepenuhnya dengan ibu bapa.

Mahkamah kemudian mengekalkan ikat jamin dan menetapkan 6 Disember depan untuk tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 5:05 PM