AMIRUL didakwa sengaja mencederakan wanita warga emas gara-gara berang ditegur melakukan pembakaran terbuka, minggu lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
AMIRUL didakwa sengaja mencederakan wanita warga emas gara-gara berang ditegur melakukan pembakaran terbuka, minggu lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan wanita warga emas, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Amirul Fathi Mohd Noor, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan cara memukul menggunakan tangan ke atas Tan Soo Ee, 77.

Kesalahan didakwa dilakukan di belakang sebuah rumah di Batu 9, Pantai Kundor, Tanjung Kling kira-kira 1.20 tengah hari pada 28 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan dikenakan.

Nur Aminahtul Mardiah bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kerana terlalu tinggi dan tertuduh tidak mampu kerana hanya membantu neneknya membersihkan tapak 'glamping' dan tiada pekerjaan tetap.

Menurutnya, anak guamnya pernah terbabit dalam kemalangan ketika berusia tujuh tahun menyebabkan keretakan di kepalanya.

"Walaupun bersekolah, dia tidak boleh menduduki peperiksaan dan mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).

"Tertuduh tiada risiko melarikan diri kerana tinggal dengan nenek dan ibunya selepas bapanya meninggal dunia akibat kanser limfoma pada November 2023 selain memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh berjumpa atau menghubungi mangsa melalui apa juga medium.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mac depan bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 1:32 PM