Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berhasrat mahu mempertahankan kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Zahidi berkata, beliau mahu meneruskan agendanya iaitu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat di kawasan berkenaan.

"Jika diberi peluang, saya mahu mempertahankan kerusi saya pada PRU-15 ini, "katanya.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pengundi di Padang Besar juga sudah menyatakan hasrat mereka untuk mengekalkannya di parlimen berkenaan.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa Barisan Nasional mengekalkan calon boleh menang antaranya seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar menguasai Parlimen berkenaan sejak dua penggal lalu iaitu pada PRU 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya 1999 dan 2004, Zahidi menang di Dun Beseri.

Pada PRU yang lalu, Zahidi menang menewaskan calon Pakatan Harapan yang diwakili Pas, Izizam Ibrahim dengan majoriti 1,438 undi.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengesahkan mengemukakan sekurang-kurangnya lima calon bagi setiap kerusi Parlimen dan Dun untuk menjalani saringan sebelum dipilih sebagai calon PRU-15 di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 3:04 PM