TUAN Ibrahim Tuan Man (kiri) mendengar penerangan mengenai lokasi cadangan pembinaan loji rawatan kumbahan serantau selepas merasmikan Karnival KASA 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini. FOTO Siti Rohana Idris.
TUAN Ibrahim Tuan Man (kiri) mendengar penerangan mengenai lokasi cadangan pembinaan loji rawatan kumbahan serantau selepas merasmikan Karnival KASA 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini. FOTO Siti Rohana Idris.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 20 projek dilaksanakan di Kelantan di bawah peruntukan pembangunan dalam Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berjumlah RM231 juta dengan nilai projek mencecah RM2.5 bilion.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada RM231 juta itu, 97 peratus penggunaannya adalah untuk projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang merangkumi projek tebatan banjir, naik taraf infrastruktur saliran bandar, pencegahan hakisan pantai dan pengurusan Saliran Mesra Alam dengan jumlah kos keseluruhan adalah RM224 juta.

Sehingga hari ini, antara projek di bawah Peruntukan Pembangunan yang berkait tebatan banjir dan perkhidmatan air berimpak tinggi dan sudah mula dilaksanakan adalah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2, PLSB Sungai Kelantan Fasa I, penstabilan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas dan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok, Kota Bharu.

"Kerajaan juga sudah meluluskan dua projek tebatan banjir secara 'off budget' di Kelantan iaitu PLSB Sungai Kelantan Fasa 2 (Komponen Rancangan Tebatan Banjir, Saliran Bandar Dan Sungai) dengan anggaran kos berjumlah RM1.9 bilion dan PLSB Sungai Golok Fasa 3.

"Projek tebatan banjir secara 'off budget' ini adalah bukti keseriusan kerajaan untuk mencari solusi tuntas mengurangkan

risiko banjir yang dialami saban tahun di negeri ini," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, menerusi peruntukan sebanyak RM226.7 juta sebelum ini, lima projek berkaitan sumber dan bekalan air termasuk kajian kelangsungan sumber dan bekalan air sudah dan sedang dijalankan.

Katanya, semua projek itu meliputi kerja kajian dan pelaksanaan Program Air Tidak Berhasil (NRW), Kajian Pembangunan Sumber Air, pembinaan LRA di Kampung Telok, pembinaan 'low weir' di Sungai Pahi dan Sungai Pengkalan Datu.

"Kajian Pembangunan Sumber Air yang sedang dijalankan ini sangat penting bagi mengenal pasti dan membangun sumber air negeri Kelantan secara optimum.

"Dapatan kajian boleh dijadikan asas untuk memohon pelbagai projek sumber dan bekalan air yang berprioriti tinggi," katanya.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Karnival Kasa 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.

Karnival Kasa yang bermula semalam hingga esok itu membabitkan 23 pempamer yang terdiri daripada seluruh jabatan dan agensi di bawah Kasa, kerajaan negeri, pihak swasta dan juga badan bukan kerajaan (NGO) yang mensasarkan 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 6:26 PM