FAUZIAH menunjukkan mesin pemeriksaan plag elektrik yang berlambak di pasaran dan tiada kelulusan Sirim. FOTO Genes Gulitah
FAUZIAH menunjukkan mesin pemeriksaan plag elektrik yang berlambak di pasaran dan tiada kelulusan Sirim. FOTO Genes Gulitah
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Tugas mereka agak unik dan menyeronokkan. Mereka perlu shopping (membeli -belah) produk elektrik dan elektronik (E&E) yang dijual di pasaran untuk dinilai kualitinya," ujar Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pensijilan Produk dan Pemeriksaan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) QAS International, Fauziah Fadzil

Menurutnya, kakitangan di Unit Pemantauan Pemasaran itu ditugaskan untuk menilai kualiti produk E & E di pasaran tempatan.

"Mereka perlu bijak melakukan penilaian. Membeli pelbagai produk secara fizikal atau melalui laman e-dagang.

"Produk itu kemudian akan dikumpulkan sampel mengikut kategori sebelum dihantar ke makmal Sirim bagi menjalani ujian kualiti dan keselamatan," katanya.

Beliau berkata, aktiviti pemantauan produk di pasaran oleh unit berkenaan secara tidak langsung membantu pengguna dari aspek keselamatan produk.

"Bagi pemantauan produk elektrik dan elektronik (E&E) tanpa kelulusan, persampelan adalah berdasarkan beberapa kriteria antaranya seperti tahap risiko, sejarah kegagalan, pemeriksaan visual, harga yang terlalu rendah dan aduan awam.

"Setiap persampelan akan diuji di makmal yang di akreditasi berpandukan klausa kritikal terhadap keselamatan produk," katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod persampelan bagi produk E&E tanpa kelulusan, penemuan yang diperolehi pihak Sirim merekodkan kadar kegagalan yang tinggi dan konsisten.

"Antara ujian kritikal yang gagal dilepasi adalah seperti tiada manual yang lengkap atau tiada amaran keselamatan yang disediakan, kegagalan pada elemen pemanasan, ujian kenaikan suhu, rintangan haba serta reka bentuk, komponen dan bahan yang tidak menepati piawaian," katanya.

Menurutnya, maklumat akan disalurkan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) berhubung produk yang gagal melepasi ujian makmal dilakukan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Harian Metro semalam mendedahkan berhubung kecenderungan pengguna membeli pelbagai peralatan elektrik secara dalam talian mendedahkan mereka kepada risiko 'bom jangka' yang bakal mengundang malapetaka kepada kediaman masing-masing.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 7:30 AM