Kuala Lumpur: Sektor elektrik dan elektronik (E&E) mengekalkan momentum pertumbuhannya dengan dipacu pelaburan domestik dan asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud berkata, Malaysia meluluskan 27 projek E&E bernilai RM4.1 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM400 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Eksport E&E berada pada landasan betul untuk mencapai pertumbuhan lima peratus tahun ini meskipun persekitaran ekonomi perlahan.

“Kami yakin sektor ini akan terus berkembang sehingga akhir tahun memandangkan terdapat tempahan barangan yang berterusan, terutama litar bersepadu elektronik,” katanya selepas pelancaran Simposium Asia mengenai Reka Bentuk Elektronik Berkualiti (ASQED) 2015, di sini, semalam.

Tahun lalu, MIDA meluluskan 96 projek E&E bernilai RM11.1 bilion, yang menyumbang 15.4 peratus daripada keseluruhan pelaburan RM71.9 bilion dalam sektor pembuatan, kedua tertinggi dalam sektor berkenaan.

Pelaburan asing menguasai sektor E&E dengan nilai pelaburan RM10.42 bilion (93.5 peratus) manakala pelaburan domestik RM724 juta (6.5 peratus).

Azman berkata, kelemahan ringgit bukan faktor utama yang boleh memberi kesan kepada prestasi sektor E&E, memandangkan ia dirangsang oleh prasarana yang baik, pembangunan pesat, kualiti modal insan bertumpu kepada kemahiran intensif dan kegiatan nilai tambah yang tinggi.

“Eksport E&E sudah tentu akan memanfaatkan permintaan tinggi daripada ekonomi yang maju. Pada ketika ini, pelabur dijangka menjajarkan semula perkhidmatan dan produk mereka selari dengan aliran global seperti kemunculan Internet-of-Things (IoT) dan teknologi nano,” katanya.

Beliau berkata IoT dan teknologi nano akan membuka peluang yang lebih besar untuk industri berkenaan berkembang dalam segmen huluan, terutama dalam penyelidikan dan pembangunan, serta segmen hiliran, iaitu pemasaran, pengedaran dan jualan. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 6:23 AM