DATUK Muhamad Yusoff Mohd Noor giat berkempen pada saat terakhir sebelum hari pengundian esok. FOTO Nur Izzati Mohamad
DATUK Muhamad Yusoff Mohd Noor giat berkempen pada saat terakhir sebelum hari pengundian esok. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Video tular kononnya calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor sedang minum air ketum disifatkan sebagai serangan peribadi pada saat akhir kempen berbaki kurang 24 jam.

Bagaimanapun Muhamad Yusoff yang mesra disapa dengan panggilan 'Tok Chop' tidak menghiraukan tuduhan berkenaan, sebaliknya terus giat berkempen untuk menawan hati pengundi Tasek Gelugor.

Katanya, beliau yakin bahawa pengundi kawasan itu bijak membuat penilaian dan tidak terpengaruh dengan video berkenaan kerana ia hanyalah bersifat fitnah bagi menyerang peribadinya.

"Macam mana mereka kata itu air ketum? Kalau benar mereka ada bukti buat laporan kemudian biar polis jalankan siasatan dan saya sedia untuk disiasat."

"Sampai bila rakyat hendak 'disaji' dengan benda-benda macam ini. Adakah mereka takut kalah hingga perlu melakukan serangan peribadi sebegini terhadap saya?" katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, semua pihak yang bertanding pada saat akhir sepatutnya perlu berkempen secara sihat bagi meyakinkan pengundi dan bukannya menyerang seseorang itu menggunakan taktik kotor.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 23 saat di laman sosial Facebook memaparkan dua lelaki memakai baju BN sedang membuka satu bungkusan air berwarna hijau yang didakwa air ketum.

Dalam video sama, mereka menunjukkan calon yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor kononnya berada dalam keadaan 'lalok' bersama satu botol air berwarna gelap.

Kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara calon BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Pejuang.

Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN, Datuk Shabudin Yahaya dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH yang mendapat 18,466 undi dan calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).

Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai BERSATU pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 2:55 PM