Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan untuk mempertahakan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu dibuat kurang 24 jam selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan untuk merebut kerusi itu.

"Saya ingin mengumumkan akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tambun dalam PRU-15 akan datang.

"Saya dan rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) Tambun adalah merupakan anak jati Parlimen Tambun dan menjadi tanggungjawab untuk terus kekal berkhidmat di halaman sendiri," katanya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, atas prinsip dan semangat demokrasi, mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun dialu-alukan.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, kempen pada PRU-15 kali ini diharap berjalan dengan telus dan adil sekali gus memberi manfaat kepada pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia.

 Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Semalam, dalam satu program Pakatan Harapan di Ipoh, Anwar yang sebelum ini Ahli Parlimen Port Dickson mengesahkan untuk bertanding merebut kerusi Tambun.

Pengumuman itu juga menamatkan teka teki kerusi yang akan ditandingi Anwar yang turut dipilih sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi blok PH.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 5:35 PM