AHMAD Faizal ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena Forum Eksekutif Muda Global Tahun 2022 (FEMG'22) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Faizal ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena Forum Eksekutif Muda Global Tahun 2022 (FEMG'22) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad

Putrajaya: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia berdepan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, sebagai negara mengamalkan demokrasi, beliau sedia berdepan dengan sesiapa sahaja pada PRU-15 November ini.

"Sekiranya PKR perkenalkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri, saya bawa diri sebagai anak tempatan yang berkhidmat untuk rakyat setempat.

"Saya tidak akan lari dan kekal di situ walaupun badai taufan melanda," katanya selepas menyampaikan ucapan penutup Forum Eksekutif Muda Global 2022 di sini tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kesediaannya berdepan Anwar yang menjadi calon PKR bagi kerusi Parlimen di Tambun.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan adalah penyandang kerusi Parlimen Tambun selepas memenangi 38,661 undi pada PRU-14 yang ketika itu bertanding menggunakan tiket PKR.

Beliau menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dari BN dan PAS , Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Anwar yang juga penyandang Ahli Parlimen Port Dickson itu bukan 'orang luar' Perak, Ahmad Faizal berkata, ramai yang belajar di Amerika dan masuk Guantamao Bay tetapi tidak jadi rakyat Amerika… Akai (akal) ada?

Menurutnya, sikap sebenar PH boleh dilihat menerusi keputusan parti itu menamakan calon dari parti bersekutu PKR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 4:20 PM